Saturday, May 22, 2010

Cinta Perlu Ada Visi dan Misi..

Arah Tuju Sebuah Cinta: Forum Bersama Kang Abik

February 18th, 2010 by Abu Saif 10:09 am | 9,146 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

Moderator Dr. Raja Ahmad Iskandar bersama panelis Ustadz Habiburrahman el-Shirazi dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Pernikahan itu harus ada visi dan misi yang dikongsi bersama,” Kang Abik memulakan bicaranya.

Program menerima sambutan yang menggalakkan daripada warga Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan institusi sekitar negeri Perak.

“Al-Quran itu sendiri sudah memaparkan empat jenis perkahwinan yang bersangkutan soal visi dan misi,” aktivis juga novelis luar biasa dari tetangga Indonesia itu melanjutkan penerangannya.

Saya sendiri pantas menyambar pena untuk mencatat. Tidak mahu terlepas walaupun sedikit mutiara kata Ustadz Habiburrahman el-Shirazi, tatkala digandingkan bersama saya selaku panelis Forum Baitul Muslim yang diselenggarakan oleh moderator yang juga merupakan sahabat saya, Dr. Raja Ahmad Iskandar, pensyarah di UTP.

NUH DAN LUT

Mereka berdua adalah insan yang soleh. Rasul utusan Allah, ‘alayhim al-solaat wa al-salaam.

Tetapi Allah menguji mereka dengan beristerikan wanita yang durhaka kepada Tuhan. Begitu juga dengan sang anak. Si suami menyeru manusia kepada Iman manakala isteri pula bermati-matian mempertahankan kekufuran. Rumahtangga dan cinta antara mereka musnah oleh visi dan misi yang bertentangan. Satu memanggil ke Syurga dan satu lagi menyeru ke Neraka.

ISTERI FIRAUN

Sama ceritanya dengan isteri Firaun.

Seorang wanita yang beriman, bersuamikan manusia paling kufur kepada Allah. Gila kuasanya, bukan setakat mahu menduduki takhta kepimpinan malah mendakwa diri Tuhan. Cinta dan rumahtangga mereka berakhir dengan perpisahan pada sempadan iman dan kufur. Seorang tabah mempertahankan iman, tatkala seorang lagi sanggup mati pada menjulang kekufuran hingga tenggelam dalam keingkaran.

Kedua-dua rumahtangga ini saling berantakan apabila cita-cita antara suami dan isteri berbeza. Berlainan pada visi dan misi mereka.

ABU LAHAB DAN UMMU JAMIL

Pasangan ini sehati sejiwa. Mereka berdansa seirama pada meraikan kekufuran mereka.

Suami sangat membenci kebenaran dan menolak kenabian. Isteri pula memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi pada menyokong apa yang diperjuangkan. Mereka sekepala, satu selera, satu cita-cita. Hidupnya hanya terhimpun pada satu erti. Mereka bercinta dalam perjuangan mendaulatkan Jahiliyyah dan kekufuran terhadap Tuhan.

Mereka ‘bahagia’.

Bahagia pada seiring dan sejalannya mereka menuju Neraka.

Nantikan nasib mereka di Sana!

RASULULLAH S.A.W DAN ISTERI

Itulah contoh teladan utama kita. Uswah Hasanah.

Tiada cacatan pada rumahtangga yang berjaya dan cemerlang itu bermula dengan berpacaran atau cuba-cuba melanggar aturan Tuhan atas nama mencari keserasian. Apa yang ada, adalah Taaruf dan segala titik mula yang Maa’ruf. Apa yang dicatat adalah merealisasikan cinta pada mencintai kebenaran. Dalam kemiskinan, ketika ada harinya dapur rumahtangga itu ketiadaan makanan, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan isteri baginda mengecap kebahagiaan.

Benar sekali… rumahtangga yang tidak ditentukan arah tujunya, adalah rumahtangga yang tidak tentu arah.

Satu jalan menuju ke Syurga.

Satu jalan menuju ke Neraka.

Bahagia, biar sampai ke Syurga.

No comments:

Post a Comment