Tuesday, December 28, 2010

Salaamatul Sodri ( Sifat Berlapang Dada )


"Apabila kau ditegur tentang kebaikan oleh rakan sebayamu, anggaplah mereka ini kasihkan kamu, bukannya tunjuk baik. Apabila kau ditergur oleh orang muda dari kamu, anggaplah itu kata-kata orang yang masih sedikit dosanya berbanding kamu. Apabila kau ditegur oleh orang yang lebih tua dari kamu, anggaplah mereka ini telah banyak beramal daripada kamu."

Kata-kata di atas merupakan kalam daripada salah seorang daripada ulama' tasawwuf lagi bijaksana. Perlu ingat, ilmu Tasawwuf dan Feqah hendaklah disekalikan, sama sekali tidak boleh ditinggalkan salah satu daripadanya. Kiranya ditinggalkan, maka binasalah badan, sesatlah amalan, punahlah kehidupan, sempitlah pemahaman, tercetuslah perbalahan.

Inilah reality pada hari ini. Setiap orang beriman lagi bertaqwa mestilah memiliki sifat berlapang dada, 'Salaamatul Sodri' dalam menerima apa jua kritikan yang membina, muhasabah yang mementingkan soal masa akan datang. Ini adalah keperluan asas dalam membina kekuatan pasukan/ jemaah/ organisasi/ kumpulan, agar mencapai kejayaan yang cemerlang dan dilihat hebat di mata masyarakat, bahkan di sisi Allah memperolehi kerahmatan dan keberkatan.

Yer ... Walaupun yang ditegur itu merupakan orang atasan, bos, ketua, amir, dan seumpamanya. Jika apa yang ditegur itu memberi manfaat yang besar, apatah lagi demi kebaikan jemaah, maka Wajib dia kena mendengar dan menerima teguran tersebut. Tidaklah boleh mereka cepat melatah dan menjawab balik. Kadang-kadang apabila cepat melatah dan menjawab, menandakan seseorang itu tidak memiliki sifat 'Salaamatul Sodri' yang akhirnya akan menghilangkan keizzahan dirinya disebabkan sifat ego dan sombongnya itu.

Nabi Muhammad SAW pernah menyebut yang mafhumnya, sesungguhnya orang yang sombong itu adalah orang yang menolak segala kebenaran dan kebaikan yang diucapkan oleh seseorang yang menegurnya.

Jadi, tak kiralah, sehebat mana seseorang itu, dengan kekayaan yang ada padanya, dengan ketinggian status yang dimilikinya, dengan kecerdikan akal yang ada padanya, dengan pengalaman dalam memimpin yang dikuasainya, apabila didapati sebarang bentuk kesalahan, penyelewengan, salah guna, kekurangan yang ada, maka apabila seseorang menegurnya dan menasihatinya, mestilah yang ditegur itu menerima dengan hati yang terbuka serta 'Salaamatul Sodri'. Inilah antara asas untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu jemaah.

Perlu diingatkan, sifat 'Salaamatul Sodri' ini digunakan apabila berhadapan dengan situasi yang berpihak kepada perkara yang betul dan benar, tidak bercanggah dengan hukum Syara', mengikut kepada keadaan semasa dan matlamatnya adalah untuk mencapai kebaikan dan mendapat keredhaan Allah taala.Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. Jzkk atas peringatan yang cukup manfaat :-)

    moga2 kita sentiasa tergolong dlm orang2 yang berlapang dada, dan sedia utk berubah ke arah kebaikan...ameen (^^,)

    ReplyDelete